Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Hari Terbuka Pusat Sejarah Brunei
Lebih banyak gambar di sini​


Sabtu dan Ahad, 23 dan 24 Disember 2023 - Pada tahun 2023 ini sekali lagi Pusat Sejarah Brunei menganjurkan Hari Terbuka Pusat Sejarah Brunei (HTPSB 2023) dengan tema ‘Bersama Mengelinga’ yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Royal Brunei Airlines (RBA), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), YMRM Enterprise dan dikuasakan oleh Imagine. Tema ini adalah berkesinambungan daripada Projek Amal: Bersama Mengelinga yang diselenggarakan oleh Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM).

Projek amal tersebut dilaksanakan menerusi kutipan daripada orang ramai melalui tabung amal MKM yang telah dijalankan bermula hari Selasa, 5 Disember 2023 dan berakhir pada hari Ahad, 17 Disember 2023 yang lalu.  Hasil daripada kutipan tersebut, digunakan untuk membeli barangan dan peralatan persekolahan yang akan diagihkan kepada golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik bagi membantu mereka membuat persediaan sebelum bermulanya tahun persekolahan yang baru.
 
Majlis Penyerahan Barangan Persekolahan iaitu Projek Amal: Bersama Mengelinga ini diadakan di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan James Pearce, Bandar Seri Begawan Negara Brunei pada hari Ahad, 11 Jamadilakhir 1445 bersamaan 24 Disember 2023. Tetamu Kehormat bagi majis ini ialah Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan).
Pada tahun ini, Program HTPSB 2023 diselenggrakan oleh Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM). HTPSB 2023 ini akan berlansung selama dua hari iaitu pada Hari Sabtu, 23 Disember 2023 dan Hari Ahad, 24 Disember 2023. 

Matlamat program ini diharapkan akan dapat mengukuhkan ikatan komuniti dengan melibatkan lebih ramai lagi individu dan organisasi dalam menyokong kanak-kanak yang memerlukan bantuan. Program ini juga adalah sebagai salah satu medium bagi merealisasikan masyarakat yang prihatin dan saksama kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Sementara itu objektif program ini antaranya memberikan pengalaman positif kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk mencipta kenangan terindah; menimbulkan rasa syukur dalam diri setiap individu dalam mengatasi rasa tidak cukup dalam kehidupan; peningkatan kesejahteraan emosi iaitu dengan menyelenggarakan aktiviti yang dapat membantu mengurangkan tekanan dan juga meningkatkan kesejahteraan emosi kanak-kanakserta membantu mereka mengatasi masalah atau cabaran yang dihadapi; menanamkan sikap berbagi-bagi kepada golongan yang memerlukan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik; melibatkan komuniti bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti dan masyarakat terhadap keperluan kanak-kanak selain memberikan peluang kepada para pegawai dan kakitangan Pusat Sejarah Brunei serta orang ramai dalam pembangunan perkembangan kanak-kanak. Sementara itu kumpulan sasaran bagi program HTPSB 2023 ini adalah penuntut-penuntut sekolah rendah pedalaman di Daerah Temburong.

Diharap melalui program HTPSB 2023 ini akan dapat memberi manfaat kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik sekali gus memupuk dan menyuntik semangat mereka untuk kembali ke sekolah pada tahun 2024. Di samping memberikan galakan kepada orang ramai untuk menanamkan rasa berbagi dan saling membantu kepada golongan masyarakat yang kurang bernaib baik di negara ini. Selain itu melalui progam dan aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang HTPSB 2023 ini berlangsung  juga diharap akan mampu memupuk minat dan rasa ingin tahu setiap anak-anak muda dan generasi belia terhadap persejarahan negara.
Attachments
Created at 12/27/2023 11:29 PM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali
Last modified at 12/27/2023 11:36 PM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali