Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Majlis Pelancaran dan Apresiasi Penerbitan Buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek

Koleksi gambar sepanjang acara boleh dilayari melalui pautan ini

Ahad, 23 Julai 2023 - Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Penuntut-Penuntut Asrama Kerajaan Brunei Singapura (AKBS) telah mengadakan Majlis Pelancaran dan Apresiasi Penerbitan Buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek yang berlangsung di Kompleks Sukan Jerudong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di Majlis Pelancaran ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat dan seterusnya ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, iaitu Yang Mulia Ir. Haji Hamidon bin Haji Mohd. Tahir dan ucapan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, iaitu Yang Mulia Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan perasmian Buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Buku ini adalah jilid kedua yang berkesinambungan daripada buku Junjung Kasih: Sumbangan Penuntut Biasiswa Kerajaan Brunei di Singapura (1950-1982) yang diterbitkan pada tahun 2019. Buku kedua ini mengandungi pengalaman pendidikan, ilmu pengetahuan dan kepelbagaian kepakaran penuntut-penuntut AKBS semasa menuntut di Singapura dan berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sebanyak 32 artikel termasuk sebuah syapen, lima buah sajak dan dua buah resensi buku telah disumbangkan oleh 28 orang penulis dalam penerbitan buku Junjung Kasih II kali ini. Antara tajuk artikel yang terkandung dalam buku yang mengandungi 394 halaman ini ialah “Tanglin Hill: Tempat Baharu Suasana Baharu”, “Memoir: Rahmat dan Nikmat yang Disyukuri” dan “Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien: Satu Mercu Tanda Teknologi Kejuruteraan Awam.”

Penerbitan buku ini adalah salah satu matlamat utama Pusat Sejarah Brunei sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei dalam mengembangkan kerjasama dan mempelbagai penerbitan.

Antara objektif penerbitan buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek adalah ia diharapkan dapat meningkatkan penerbitan Pusat Sejarah Brunei bagi memperkaya sumber dan maklumat yang berharga kepada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi sama-sama menanai dan memajukan tanah air dalam semua bidang; menarik minat orang ramai khususnya golongan belia, para akademik, penyelidik dan pencinta sejarah untuk sama-sama mempelajari, mengetahui dan memahami sejarah tanah air; dan sebagai sumber dan inspirasi dalam merancang pembangunan masa depan negara.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan seterusnya menyampaikan cenderamata kepada 28 orang penulis Buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek dan seterusnya menyampaikan Anugerah Seri Temasek kepada 3 orang penerima iaitu:
  1. Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
  2. Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang   Abdul Aziz bin Juned. 
  3. Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli.
Majlis diserikan dengan deklamasi sajak berjudul “Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien” disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; dan sebuah syair (syapen) turut didendangkan berjudul “Hidup Sederhana” hasil nukilan Ibnu ‘abdir-raheem iaitu Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim.
Attachments
Created at 7/24/2023 6:11 PM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali
Last modified at 7/24/2023 6:13 PM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali